SELAMAT DATANG

Selamat Melayari Blog Tentang Info Bahasa
Semoga Anda Mendapat Ilmu yang Bermanfaat

Selasa, 13 April 2010

Panggilan Hormat

Pengenalan

Dalam sesuatu majlis pasti ada pelbagai jenis tamu mengikut pangkat dan kedudukan. Oleh itu, sebagai pengacara majlis, anda harus mengetahui penggilan hormat bagi seseorang tamu mengikut pangkat, darjat atau gelaran jawatan yang dijawat. Selain itu, sebagai pengacara majlis juga, anda harus mengetahui pantang larang terutama daripada segi berpakaian agar anda tidak menjadi isu dan memalukan pihak penganjur atau tuan rumah. Oleh sebab pentingnya panggilan hormat dan pantang larang daripada segi berpakaian, maka dalam blog ini akan disenaraikan panggilan hormat tersebut.
Panggilan Hormat


Penggilan hormat yang sesuai hendaklah digunakan terhadap orang-orang kenamaan sebagai tanda penghormatan kepada kedudukan mereka. Amat mustahak bagi seorang pengacara majlis mengetahui dan menggunakan panggilan hormat dan gelaran yang betul mengikut protokol dalam sesuatu majlis yang dikendalikan.

Panggilan hormat bagi Yang di-Pertuan Agong, Sultan-Sultan dan Yang DiPertua Negeri adalah seperti berikut:

(a) Yang di-Pertuan Agong - *DYMM Seri Paduka Baginda
(b) Raja Permaisuri Agong - DYMM Seri Paduka Baginda
(c) Raja Perlis - DYMM Tuanku
(d) Sultan Kedah - Ke Bawah DYMM Al-Sultan
(e) Sultanah Kedah - Ke Bawah DYMM Tuanku
(f) Sultan Selangor - DYMM Sultan
(g) Tengku Ampuan Selangor - DYMM Tengku Ampuan
(h) Yang Dipertuan Besar - DYMM Tuanku Negeri Sembilan
(i) Tunku Ampuan - DYMM Tuanku Negeri Sembilan
(j) Sultan Pahang - Ke Bawah DYMM Sultan
(k) Sultanah Pahang - DYMM Sultanah
(l) Sultan Terengganu - DYMM Sultan
(m) Tengku Ampuan Besar - DYMM Tengku Ampuan Terengganu
(n) Al-Sultan Kelantan - Ke Bawah DYMM Tuanku
(o) Raja Perempuan Kelantan - DYMM Tengku
(p) Sultan Johor - DYMM Baginda Sultan
(q) Sultanah Johor - DYMM Baginda Sultanah
(r) Paduka Seri Sultan Perak - DYMM Paduka Seri Sultan
(s) Raja Permaisuri Perak - DYMM Raja Permaisuri Darul Ridzuan
(t) Yang DiPertua Negeri Melaka, Sarawak, Sabah dan Pulau Pinang - Tuan Yang Terutama
(u) Isteri Yang DiPertua Melaka, Sarawak, Sabah dan Pulau Pinang - Yang Amat Berbahagia

*DYMM = Duli Yang Maha Mulia

Panggilan hormat bagi orang-orang kenamaan yang lain ialah:

(a) Perdana Menteri - Yang Amat Berhormat
(b) Isteri Perdana Menteri - Yang Amat Berbahagia
(c) Timbalan Perdana Menteri - Yang Amat Berhormat
(d) Isteri Timbalan Perdana Menteri - Yang Amat Berbahagia
(e) Menteri Besar/Ketua Menteri - Yang Amat Berhormat
(f) Isteri Menteri Besar/Ketua Menteri - Yang Amat Berbahagia
(g) Menteri, Timbalan Menteri - Yang Berhormat
(h) Isteri Menteri dan Timbalan - Yang Berbahagia
(i) Tun/isteri - Yang Amat Berbahagia
(j) Tan Sri/isteri - Yang Berbahagia
(k) Datuk selain negeri Johor - Yang Berbahagia
(l) Dato’ dari negeri Johor - Yang Berhormat
(m) Raja/Tengku - Yang Mulia
(n) Isteri Raja/Tengku - Yang Berbahagia
(o) Panglima Angkatan Tentera/isteri - Yang Berbahagia
(p) Ketua Polis Negara/isteri Yang Berbahagia
(q) Ketua Hakim Negara - Yang Amat Arif
(r) Isteri Ketua Hakim Negara - Yang Amat Berbahagia
(s) Hakim Besar - Yang Arif
(t) Isteri Hakim Besar - Yang Berbahagia
(u) Hakim Mahkamah Agong/Tinggi - Yang Arif
(v) Isteri Hakim Mahkamah Agong/Tinggi - Yang Berbahagia
(w) Peguam Negara/isteri - Yang Berbahagia
(x) Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam/isteri - Yang Berbahagia
(y) Ketua-Ketua Setiausaha Kementerian dan Ketua-Ketua Jabatan Peringkat Persekutuan/ isteri - Yang Berbahagia
(z) Ketua-Ketua Jabatan Negeri - Yang Berusaha/Yang Berbahagia

Ahad, 11 April 2010

Sokong wajib BM kepada pelajar asing

SAYA menyokong penuh ketetapan Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia untuk mewajibkan kursus bahasa Melayu kepada 65,000 pelajar asing di institusi pengajian tinggi di negara ini, sebagaimana yang dinyatakan oleh YB Datuk Seri Mohd. Khaled Nordin, Menteri Pengajian Tinggi Malaysia.

Ketetapan itu sebenarnya merupakan pengisian dasar yang telah diputuskan oleh kerajaan sendiri sebagai susulan Akta Pendidikan 1996 yang menetapkan tiga subjek wajib untuk diikuti oleh pelajar asing iaitu Bahasa Melayu, Pengajian Malaysia dan Pendidikan Moral. Bahkan dasar mewajibkan penguasaan bahasa kebangsaan negara tuan rumah seumpama itu telah menjadi amalan sejagat di negara lain yang menerima pelajar dari luar negara sejak lama dahulu.

Kejayaan dasar itu di negara ini telah dilaksanakan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia sejak lebih 20 tahun sehingga memungkinkan pelajar dari luar negara di universiti itu dapat berinteraksi dan berkomunikasi dengan baik dengan masyarakat setempat, serta dapat menghayati budaya di negara ini.

Sukatan pelajaran Bahasa Melayu untuk pelajar asing sebenarnya telah pun disiapkan, pada waktu itu oleh Pusat Perkembangan Kurikulum dengan bantuan pakar-pakar bahasa, semasa hal ehwal pengajian tinggi masih di bawah Kementerian Pendidikan.

Pihak pengurusan Kementerian Pengajian Tinggi diharapkan dapat membuat langkah susulan dengan segera untuk melaksanakan ketetapan yang dinyatakan oleh Menteri Pengajian Tinggi itu. Ini merupakan salah satu langkah yang praktis dan mulia untuk memperdanakan bahasa Melayu di kalangan warga dunia, kerana pelajar yang pulang ke negara masing-masing pasti dapat menjadi sumber pengembangan bahasa Melayu di negara masing-masing.

Dengan terdapatnya 130 buah institusi pengajian tinggi di 45 buah negara sedunia yang mengajar Pengajian Melayu, langkah kerajaan Malaysia memperkenalkan bahasa Melayu kepada pelajar dari luar negara yang belajar di negara ini pasti dapat meningkatkan martabat bahasa Melayu dengan lebih cepat dan meluas.

PROF. DR. AWANG SARIYAN

Penyandang Pertama Kursi Pengajian Melayu Malaysia-China Universiti Pengajian Asing Beijing