SELAMAT DATANG

Selamat Melayari Blog Tentang Info Bahasa
Semoga Anda Mendapat Ilmu yang Bermanfaat

Selasa, 23 Mac 2010

Peribahasa Hari Ini


Kena batang hidung sendiri.

Susah akibat perbuatan sendiri.

Kerambil tumbuh di matanya.

· Orang besar yang kaya dan bijak; perempuan cantik dan kaya.

Keras ditakik; lunak disudu.

· Buat kerja ikut keadaan.

Kucing pergi, tikus menari.

· Apabila ketua yang ditakuti tidak ada, anak buah berasa seronok.

Rabu, 17 Mac 2010

SINTAKSIS

POLA AYAT DASAR DAN FRASA

Pola ayat dasar merupakan sumber kepada pembentukan ayat-ayat dalam Bahasa Melayu. Ayat dasar juga dikenali sebagai ayat mudah atau ayat inti. Terdapat empat pola ayat dasar berdasarkan unsur-unsur binaan ayat:

FN+FN ; FN+FK ; FN+FA ; FN+FS


FRASA

Frasa ialah unit tatabahasa yang boleh terdiri daripada satu susunan yang mengandungi sekurang-kurangnya satu atau dua perkataan yang berpotensi untuk diperluaskan menjadi dua perkataan atau lebih.

Frasa menjadisubjek atau predikat dalam binaan ayat serta menjadi konstituen atau binaan kepada klausa.

Frasa terbahagi kepada empat, iaitu frasa nama, frasa kerja, frasa adjektif dan frasa sendi nama

Dalam setiap frasa ada perkataan yang yang dikenali sebagai inti frasa, iaitu perkataan yang paling penting dalam frasa. Contoh (berdasarkan Pola FN+FN) :

Kakak saya seorang pramugari = Kakak pramugari

Di sini ‘kakak’ dan ‘pramugari’ adalah inti frasa kepada kedua-dua pola tersebut.

Jenis perkataan yang menjadi inti frasa menentukan sama ada ia menjadi frasa nama, frasa kerja, frasa adjektif atau frasa sendi nama.

1) Frasa Nama (FN)

Frasa nama yang terbentuk daripada sederetan perkataan mempunyai dua jenis hubungan antara perkatan-perkataan ini :

a) inti & penerang

Contoh : Guru sekolah menengah itu sedang menasihati murid-muridnya (FN+FK)

Guru à inti ; sekolah menengah itu à penerang

b) inti & inti.

Contoh : Ibu bapa perlu mendidik anak (FN+FK)

Ibu à inti ; bapa à inti.

Dalam binaan frasa nama, penyusunan setiap konstituen amat pentng untuk menentukan sama ada frasa nama itu digunakan dengan betul atau tidak. Oleh itu, peraturan Hukum D-M, penggunaan kata bilangan serta panggilan dan penerang mestilah sesuai dalam frasa nama.

Hukum D-M ialah Hukum Diterang (D) dan Hukum Menerang (M). Dalam frasa nama, unsur inti yang berada pada kedudukan pertama adalah unsur diterangkan, dan pada kedudukan kedua merupakan unsur menerangkan.

Contoh : Guru bahasa ; Guru àinti / (D)

bahasa à penerang /(M)

Hukum D-M mempunyai beberapa kekecualian, antaranya ialah jawatan tertentu yang biasa digunakan seperti Perdana Menteri (sepatutnya Menteri Perdana) dan naib presiden (sepatutnya presiden naib).

2) Frasa Kerja (FK)

Frasa kerja terbina daripada satu perkataan sahaja (iaitu terdiri daripada kata kerja tak transitif) atau sederetan perkataan yang menjadi unsur predikat dalam ayat. Binaan frasa kerja terbahagi kepada dua :

a) Frasa kerja yang tidak mengadungi obejk dan tidak memerlukan kata nama sebagai penyambung untuk melengkapkannya. Kata kerja di sini ialah kata kerja tak transitif.

Contoh : Adik menangis(FN+FK)

b) Frasa kerja yang mengandungi objek selepas kata kerja untuk melengkapkan frasa ini. Kata kerja di sini ialah kata kerja transitif yang memerlukan objek yang terdiri daripada kata nama.Objek berkenaan boleh diikuti oleh penerang.

Contoh : Saya menangkap burung gagak di hutan. (FN+FK) ; di sini :

burung gagak à objek

di hutan à penerang

3) Frasa Adjektif (FA)

Frasa adjektif boleh terbina daripada satu perkataan atau sederetan perkataan yang mengandungi kata adjektif sebagai inti. Frasa adjektif adalah unsur predikat dalam binaan ayat atau sebagai unsur keterangan dan unsur penerang dalam predikat, yang hadir selepas kata kerja. Manakala sebagai kata penerang, kata adjektif hadir selepas kata nama.

Binaa frasa adjektif yang terdiri daripada satu perkataan sahaja adalah seperti malas, muram, dan kosong. Frasa adjektif juga boleh dibahagikan kepada dua golongan :

a) Kombinasi dua kata adjektif yang menekankan beberapa unsur:

- keserasian makna. Contoh: cantik molek, penat lelah

- makna berlawanan. Contoh : baik buruk, kecil besar

- keindahan bunyi ritma. Contoh : lemah longlai, kusut masai

b) Binaan frasa adjektif yang terdiri daripada kata adjektif sebagai inti dan kata nama sebagai penerang. Ia membawa dua maksud

- keserupaan. Contoh : merah darah , hijau daun

- kiasan. Contoh : panjang tangan, besar kepala

Dalam frasa adjektif, kata penguat boleh hadir dalam beberapa keadaan:

a) Di hadapan : paling degil, amat bijak

b) Di belakang : murah sekali, cepat benar

c) Secara bebas : amat cantik, cantik amat.

d) Secara berderetan : sungguh berani sekali, belum cerdik lagi

Dalam susunan ayat biasa, frasa adjektif hadir sebagai predikat, sebagai kata keterangan selepas kata kerja dan penerang selepas frasa nama. Dalam susunan ayat biasa, frasa adjektif boleh mengalami susunan songsang. Contoh :

Rumah Ani amat besar sekali àAmat besar sekali rumah Ani

4) Frasa Sendi Nama (FS)

Frasa sendi nama ialah binaan dalam ayat yang terdiri daripada satu sendi nama dan frasa nama yang menjadi pelengkap kepada sendi nama itu. Dalam binaan ayat biasa, frasa sendi nama menjadi predikat dalam ayat.

Frasa sendi nama boleh dibentuk melalui empat cara :

a) Sendi nama dan frasa nama.Contoh : di pasar

b) Sendi nama, kata nama arah dan frasa nama. Contoh : di tepi pasar

c) Sendi nama, kata nama arah, frasa nama dan ayat komplemen. Contoh : ke dalam hutan untuk menangkap rusa.

(binaan ketiga ini memperlihatkan kita bahawa unsur kata nama arah dan ayat komplemen merupakan unsur pilihan)

d) Sendi nama, kata nama arah, frasa nama dan frasa keterangan. Contoh : di selatan negeri China pada tiap-tiap bulan.

(binaan keempat ini memperlihatkan unsur keterangan bersifat pilihan)

PANDUAN MENJAWAB SOALAN BINA AYAT

PANDUAN BINA AYAT

1. Boleh bina ayat tunggal.
2. Boleh bina ayat majmuk.
3. Boleh bina ayat aktif.
4. Boleh bina ayat pasif.
5. Boleh bina ayat cakap ajuk tetapi perlu mematuhi peraturan
tanda baca (tanda petik).

Pelajar dilarang :
1. Menambah atau menggugurkan imbuhan.
2. Jadikan perkataan diuji sebagai kata nama khas.
3. Jadikan perkataan diuji sebagai peribahasa.
4. Membina ayat yang tidak jelas/ tidak difahami maksud.

Sumber dari blog galusspm cikgu razak

Jumaat, 12 Mac 2010

Peribahasa Hari Ini

Panjang belit.

· Pandai melepaskan diri daripada masalah dan mencari untung daripada lawan.

Pasak ke telinga.

· Mendengar dengan baik-baik.

Payung mahkota.

· Raja yang memerintah.

Payung mahkota.

· Raja yang memerintah.

Rabu, 10 Mac 2010

Keputusan SPM 2009


Pelajar Terbaik 12 A

Keputusan akan diumumkan dalam beberapa minit sahaja lagi...

Subjek BM

A+ = 27 calon
A = 36 calon
A- = 35 calon

B+ = 16 calon

JUMLAH = 114 CALON




Latihan Intensif Masa Cuti

Kepada semua pelajar Tingkatan 3 Firdaus dan 3 Darus Salam, SMKASL; sila buat latihan ringkasan di bawah dan hantar jawapan kepada cikgu melalui e-mel ahmad511@streamyx.com


Baca petikan di bawah ini dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut, tulis satu ringkasan tentang kesan-kesan kenaikan harga barang terhadap pengguna. Panjang ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan supaya menggunakan ayat sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.

Tahun 2008 disambut dengan perasaan gembira berbaur gundah-gulana berikutan barang keperluan utama semuanya meningkat hingga menjadikan masyarakat semakin sarat dengan pelbagai masalah kehidupan. Harga dan bekalan makanan utama seperti beras, tepung gandum, gula dan minyak masak menjadi isu sehingga satu ketika bagaikan berlaku krisis bekalan gara-gara peniaga yang sengaja menyimpan stok dengan niat mahu menaikkan harga. Pihak berkuasa perlu bertindak terhadap tindak-tanduk peniaga dan kegiatan penyeludupan barang kawalan. Masalah kenaikan harga barang menyebabkan ketidakselesaan dan tekanan bagi sesebuah keluarga. Kesan kenaikan harga barang menjadikan setiap keluarga terpaksa mengurangkan perbelanjaan keluarga khususnya barang makanan. Terdapat keluarga yang terpaksa mengikat perut apabila menjelang pertengahan bulan kerana tidak cukup wang menjelang pertengahan bulan.

Anak yang sedang membesar memerlukan makanan dalam kuantiti yang banyak dan permintaan anak untuk makan makanan kegemaran mereka seperti ayam goreng, daging dan sebagainya tidak dapat dipenuhi ibu bapa yang berpendapatan rendah. Anak-anak kecil yang kecewa sanggup mencuri secara kecil-kecilan di pasar raya atau di kedai-kedai runcit semata-mata untuk menampung keperluan diri. Kenaikan kos sara hidup juga memberi impak negatif kepada perhubungan suami isteri. Suami isteri yang menghadapi masalah kewangan mengalami rasa kecewa, marah dan sakit hati kepada pasangan masing-masing. Tekanan ini menyebabkan ada pasangan yang bercerai-berai dan berlakunya perpecahan yang menimbulkan keadaan huru-hara dalam keluarga dan pastinya anak-anak menjadi mangsa.

Di samping itu, kenaikan kos ini memberi kesan terhadap sikap kakitangan yang ingin mendapat kenaikan pangkat dan lebih fokus kepada budaya kerja yang negatif iaitu mengampu, menikam rakan dari belakang, mengumpat dan memporak-perandakan interaksi sesama rakan sekerja. Sikap masyarakat yang fokus kepada materialistik juga memberikan kesan terhadap emosi keluarga. Terdapat juga isteri yang mengetahui kemampuan suami yang rendah tetapi sentiasa mendesak untuk dipenuhi kemahuan mereka dan menyebabkan suami yang menurut kehendak isteri akan melakukan jenayah kolar putih seperti rasuah, pecah amanah, mencuri harta syarikat dan sebagainya. Oleh yang demikian, setiap keluarga harus berwaspada dan bijak dalam menjalani kehidupan seharian dan sentiasa membuat pemantauan harga barangan serta mengatur perancangan yang kemas agar gangguan emosi dan tekanan hidup dapat dihindari.

( Dipetik dan diubahsuaikan daripada “Kawalan

Harga Barang” , Berita Harian, 24 / 01/2008)


(10 markah)

Berdasarkan petikan Bahagian A(i),jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

1. Berikan maksud rangkai kata memberi impak negatif.

[2 markah]

2. Berdasarkan petikan, nyatakan dua langkah yang perlu diambil oleh

keluarga, masyarakat atau kerajaan terhadap kenaikan harga barang.

[4 markah]

3. Pada pendapat anda, apakah peranan pengguna dalam mengatasi

masalah kenaikan harga barang ?

[(4 markah]

Perkataan hari ini

insaniah

· Ar berkaitan dgn manusia, bersifat kemanusiaan: faktor ~ atau akhlak harus dikaitkan dlm falsafah pendidikan; sesebuah karya tidak terhasil dlm kekosongan, tetapi sebaliknya melalui proses interaksi alamiah dan ~.

insinuasi

· tuduhan yg tersembunyi (tidak langsung), ucapan yg tidak secara langsung ditujukan kpd seseorang utk menghina: adalah membahayakan suara-suara yg mencuba memecahkan persatuan itu dgn tuduhan fitnah dan ~.








Selasa, 9 Mac 2010

Marilah Kita Memartabatkan Bahasa Melayu

``Bermula adalah sebesar-besar hairan dalam hatiku sebab melihatkan adat orang-orang kita Melayu itu, yang tiada diperbuat oleh bangsa yang lain-lain dalam dunia ini diperbuatnya!
``Adakah segala manusia dalam dunia ini membuangkan bahasanya sendiri, tiada bertempat belajar bahasanya itu, melainkan yang kulihat orang Melayulah yang tiada mengendahkan...
``Bermula adalah yang kudengar beberapa bangsa di dalam dunia ini menjadi besar dan pandai sebab mereka itu pandai membaca surat dan menyurat dan mengerti bahasanya serta memeliharakan bahasanya, iaitu daripada bangsa Arab atau bangsa orang putih, baik daripada Cina atau Hindu, maka sekelian mereka sentiasa memeliharakan dan memuliakan bahasanya.
``Maka makin sehari makinlah diluaskannya dan ditambahinya dan dibaikinya dan dihaluskannya sampailah zaman ini, kerana sesungguhnya bahasa itulah menjadikan manusia itu berakal dan menambah kepandaian dan ilmunya dan boleh menjalankan segala pekerjaannya dan boleh membaiki akan dirinya sendiri dan boleh pula mengajar akan orang lain.
``Maka dengan dia itulah sahaja dijadikan Allah yang dapat mengeluarkan barang suatu rahsia dalam hati manusia.
``Syahadan dapat tiada kalau ada suatu bangsa yang besar itu maka bahasanya pun besarlah, kerana sekelian perkara yang ada dalam dunia dan akhirat itu semuanya terbit daripadanyalah, menjalankan pekerjaan dan memberi nama tiap-tiap suatu itu dengan bahasa dan mencari kehidupan itu pun dengan bahasa dan mendatangkan beberapa kekayaan dan kemuliaan.
``Kebesaran bagi manusia itu pun daripada bahasa datangnya.
``Maka bahasa itulah yang besar gunanya bagi manusia ini dunia akhirat. Maka patutkah iaitu tiada engkau endahkan.''

--- Abdullah bin Abdul Kadir Munsyi ---

Latihan Intensif Tatabahasa


Kepada semua pelajar Tingkatan 5 Naim dan 5 Darus Salam, SMKASL sila jawab latihan tatabahasa pada masa cuti sekolah dan hantarkepada cikgu pada 23 Mac 2010.


Nota:

Kepelbagaian soalan tentang ayat dalam peperiksaan:

  • Membina ayat berdasarkan perkataan yang diberi,
  • Menggabungkan atau menyambungkan ayat tunggal untuk menjadi ayat majmuk,
  • Menulis beberapa (enam) ayat tunggal daripada ayat-ayat majmuk yang diberi,
  • Menukar ayat biasa ke bentuk ayat songsang atau sebaliknya,
  • Menukar ayat aktif ke ayat pasif atau sebaliknya,,
  • Menyatakan jenis-jenis ayat.
  • Menukarkan ayat cakap ajuk kepada ayat cakap pindah atau sebaliknya,
  • Menganalisis ayat

LATIHAN

1. Kenal pasti jenis-jenis ayat berikut. Tentukan sama ada ayat tersebut ialah ayat penyata, ayat tanya, ayat perintah atau ayat seruan.

(i) Murid yang miskin itu sudah diberi biasiswa.

(ii) Sudahkah awak membaca novel tulisan A. Samad Said itu ?

(iii) Jamaliah baru sahaja melapor diri untuk bertugas di sekolah ini tadi.

(iv) Wah, awak kelihatan sungguh ceria sejak akhir-akhir ini!

(v) Jangan memuji saya berlebih-lebihan.

(vi) Syabas, teruskan usaha murni awak!

[6 markah]

2. Tukar ayat bersusunan biasa di bawah kepada ayat bersusunan songsang tanpa mengubah maksud asalnya.

(i) Pelajar yang cacat penglihatan itu gigih sungguh.

(ii) Ibunya masih belum pulang dari pejabat .

(iii) Murid-murid kelas tadika itu berkejar-kejaran di padang sekolah.

(iv) Dia menulis rencana itu di bilik bacaan.

(v) Semua umat Islam wajib bertawakal kepada Allah.

[6 markah]

3. Tulis semula ayat-ayat di bawah supaya menjadi enam ayat tunggal tanpa mengubah maksud asal ayat-ayat tersebut.

Kita berasa terkilan apabila melihat kemasukan warga asing ke negara ini yang semakin bertambah walaupun kerajaan sudah mengambil tindakan yang sewajarnya. Hal ini berpunca daripada sikap tidak bertanggungjawab sebilangan kecil rakyat kita sendiri kerana mereka bukan sahaja telah memberikan peluang pekerjaan kepada warga asing, malah menyeludupkan warga asing masuk ke negara ini.

[6 markah]

4. Tukar ayat-ayat pasif di bawah ke bentuk ayat aktif tanpa mengubah maksud asal ayat-ayat tersebut.

(i) Kampung itu dilanda banjir besar.

(ii) Harta benda mereka yang hanyut tidak dapat diselamatkan oleh orang kampung.

(iii) Perahu kami gunakan untuk memindahkan mangsa banjir.

(iv) Mangsa banjir turut dibantu berpindah ke tempat yang selamat oleh orang ramai.

(v) Bantuan wang ihsan untuk meringankan beban kesusahan yang dialami oleh

mangsa banjir disalurkan oleh kerajaan.

(vi) Bekalan makanan dan keperluan harian untuk mangsa banjir tersebut turut

disumbangkan oleh sektor swasta .

[6 markah]



Isnin, 8 Mac 2010

Ujian Selaras 1 2010

Kepada pelajar Tingkatan 3, SMKASL
Soalan Ujian Selaras 1 BM dan jawapannya boleh didapati melalui e-mel cikgu...